KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Malaysia meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat apabila menewaskan Austria 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan C, kelmarin.
Skuad Malaysia berjaya memperoleh mata pertama menerusi beregu campuran Low Han Chen-Chong Jie Yu yang menewaskan Jakob Rinner-Sarah Dlapka 21-12, 21-7 dalam perlawanan selama 20 minit di The Podium.
Perseorangan lelaki, Muhammad Faiq Haziq menepati ramalan apabila mudah mengutip mata kedua selepas mengalahkan Pascal Cheng 21-15, 21-9.
Perseorangan wanita, Siti Zulaikha Muhammad Azmi juga tidak mempunyai masalah untuk menyumbang mata ketiga pasukan apabila berjaya menewaskan Anja Rumpold 21-13, 21-7 dalam masa 21 minit.
Skuad remaja Malaysia terus unggul mengutip mata keempat menerusi Kang Khai Xing-Aaron Tai yang menang mudah ke atas pasangan Ilija Nicolussi-Jakob Rinner 21-6 dan 21-10.
Beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting melengkapkan kemenangan Malaysia selepas mengetepikan cabaran Lena Krug-Chiara Rudolf 21-5, 21-9.
Terdahulu, skuad remaja Malaysia memulakan kempen kejohanan dengan langkah kanan apabila mengalahkan Poland 4-1.
Empat mata berkenaan diperoleh menerusi gandingan beregu campuran remaja Malaysia, Bryan Jeremy Goonting-Chan Wen Tse, perseorangan lelaki Malaysia, Eogene Ewe, perseorangan wanita Ong Xin Yee dan beregu lelaki Bryan Jeremy- Aaron Tai.
Bagaimanapun, beregu wanita, Chan Wen Tse-Chong Jie Yu terlepas peluang menyumbangkan mata apabila tewas kepada Anna Czuchra-Joanna Podedworny, 19-21, 21-11, 18-21.
Malaysia seterusnya akan bertemu dengan Latvia pada perlawanan ketiga Kumpulan C hari ini. – Bernama