COPENHAGEN, 27 SEPT – Asap dari kebakaran hutan Kanada telah menggelapkan langit di barat Greenland, kata penduduk pulau Artik yang terletak ratusan kilometer dari pantai Kanada.
Kanada telah mengalami musim kebakaran hutan yang paling teruk tahun ini, dengan setiap satu dari 13 kawasan dan wilayahnya terjejas serta ribuan penduduk dipindahkan.
Penyelidik Caroline Bouchard, yang tinggal di pantai barat Greenland, menggambarkan suasana itu sebagai ‘apokaliptik.’
“Pada hari Isnin, ia seperti matahari yang tidak pernah naik,” katanya kepada AFP dari ibu kota Greenland Nuuk, sambil menambah bahawa dia boleh menghidu bau asap itu.
Imej di media sosial menunjukkan langit gelap di beberapa bahagian Greenland, dilitupi jerebu tebal.
Zarah abu daripada kebakaran itu juga dikesan di Norway pada bulan Jun, setelah mengembara ke seluruh Lautan Atlantik. – AFP