BEIJING, 27 SEPT – Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz kelmarin berkata bahwa pertarungan indahnya dengan Novak Djokovic di kemuncak tenis lelaki mendorongnya untuk bersedia menghadapi Terbuka China di Beijing.
Alcaraz menewaskan Djokovic yang berada di kedudukan teratas dalam perlawanan akhir Wimbledon yang tidak dapat dilupakan pada Julai dan boleh merapatkan jurang dengan pemain Serbia itu di kedudukan teratas dengan prestasi yang cemerlang di ibu negara China.
Apabila ditanya oleh AFP semasa sidang media hari ini sama ada perlawanannya dengan Djokovic memberikan dorongan tambahan kepadanya, Alcaraz berkata “Ya, sudah tentu.”
“Kami mempunyai pertarungan yang sangat baik untuk tempat nombor satu selepas prestasi hebat yang dimiliki Djokovic dalam musim Amerika,” kata pemain Sepanyol itu.
“Bagi saya, tempat nombor satu adalah salah satu matlamat utama,” katanya.
Alcaraz merupakan pilihan utama untuk Terbuka China dan berkemungkinan akan memulakan kempennya dengan perlawanan menentang pemain kelayakan, esok.
Djokovic, yang memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan ini, merupakan ketiadaan ketara dalam kejohanan yang masih menarik pelbagai nama besar.
Mereka termasuk Daniil Medvedev – naib juara di AS – yang akan menentang pemain Amerika, Tommy Paul dalam seri pusingan pertama yang sukar.
Medvedev, yang menduduki ranking ketiga dunia, berkata dalam taklimat, hari ini bahawa medan yang penuh saingan mendorongnya untuk menamatkan musim ini dengan cemerlang.
“Kadang-kadang penghujung musim boleh menjadi sukar kerana semua Grand Slam telah tamat, jadi awda perlu mencari motivasi ini,” kata pemain Rusia itu. – AFP